7 Punca Tekanan Kerja

7 Punca Tekanan Kerja ini dipetik daripada jurnal – The effects of emotional intelligence on work stress and the intention to leave the teaching profession: oleh Syed Sofian Syed Salim & Rohany Nasir.

7 Punca Tekanan Kerja

Menurut Cooper dan Marshall (1976 dalam Rohany ,2003), terdapat tujuh jenis punca tekanan di dalam kerjaya iaitu faktor intrinsik, peranan dalam organisasi, perkembangan kerjaya, hubungan interpersonal di tempat kerja, iklim dan struktur organisasi, punca-punca ekstraorganisasi dan faktor individu itu sendiri. Begitu juga Beehr dan Newman (1978, dalam Rohany 2003) menyatakan tanda-tanda yang menunjukkan seseorang menghadapi tekanan kerja boleh dibahagi kepada tiga iaitu reaksi fizikal, reaksi psikologikal dan reaksi tingkah laku.

Selain itu Brief et al. (1981, dalam Rohany 2003) membincangkan beberapa faktor yang menyumbangkan kepada tekanan yang mana faktor-faktor ini dikelompokan dalam tiga kumpulan iaitu:

(i) ciri-ciri dan proses organisasi,

(ii) tuntutan kerja, suasana kerja dan perhubungan interpersonal dan

(iii) ciri-ciri personaliti dan ekspektasi individu.

Oleh bila kita membincangkan mengenai kemunculan tekanan dan keupayaan dalam menangani tekanan kerja sudah pasti ia secara langsung berkaitan dengan dimensi kecerdasan emosi. Ini kerana gejala emosi yang ditimbulkan oleh tekanan seperti resah, gelisah, mudah marah, kemurungan, berubah perasaan, rasa tidak selamat, mudah sensitif, sikap agresif atau permusuhan, letih emosi dan kehabisan tenaga akan memberi kesan ke atas keseluruhan kehidupan individu dan organisasi yang terlibat.

Keupayaan menangani semua ini akan melahirkan kepuasan dan peningkatan dalam prestasi kerja, yang mana ini semua dikaitkan dengan orang yang mempunyai kecerdasan emosi yang tinggi. Keupayaan dalam mengatasi tekanan ini berkaitan dengan dimensi kecerdasan emosi yang diperkenalkan oleh Bar-On (1997) dalam sub domain yang keempat iaitu berkaitan dengan pengurusan tekanan. Ia juga berkaitan dengan kecerdasan emosi yang dibicarakan oleh Salovey (1997) dalam dimensi keupayaan mengelola emosi.

Oleh itu menurut Goleman (1995) kecerdasan emosi adalah kemampuan seseorang memotivasi diri sendiri dan dapat bertahan dalam menghadapi kekecewaan, mengendalikan dorongan hati, dan tidak melebih-lebihkan kesenangan, mampu mengatur suasana hati dan dapat menjaga agar bebanan tekanan tidak melumpuhkan kemampuan berfikir dan berempati seseorang pekerja.

P/s: Sila sebarkan tips ini kepada rakan lain yang mungkin mendapat manfaat daripadanya dengan meminta mereka merujuk ke blog ini. Terima kasih.

Leave a Comment

error: Content is protected !!